Tuesday, August 10, 2010

SAJOHA Vikings Dinobat Juara Liga Alumni 2010


Salam,

Agak lama tiada laporan tentang pasukan ragbi SAJOHA Vikings dihantar. Ini kerana komitmen setiausaha kami agak tinggi dan bukan bermakna kami tiada apa-apa yang ingin dilaporkan.

Setelah habis Liga Selangor (LIga KRS), kami telah bermain untuk Liga Alumni di dalam Divisyen 1B. Diletakkan bersama-sama pasukan High School Klang Old Boys Assc (HSKOBA), Kolej Yayasan Saad Old Boys (KYSER) dan SMS Kuala Selangor Old Boys (KUSESS), kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk muncul juara bagi divisyen 1B ini, walaupun mendapat tentangan sengit dari juara tahun lepas iaitu HSKOBA.

Berikut adalah keputusan-keputusan perlawanan.

27/6/2010 SAJOHA vs KUSESS 22-5
4/7/2010 SAJOHA vs HSKOBA 36-31
17/7/2010 SAJOHA vs KYSER 17-5

Dengan kemenangan-kemenangan di atas, kami berjaya mengungguli takhta Divisyen 1B dan bertemu dengan juara Divisyen 1A iaitu SMS Selangor Old Boys (SMSOB).

Perlawanan menentang SMSOB telah berlangsung pada Ahad yang lepas (8 Ogos 2010), bertempat di Padang Utara pada jam 5.30 petang. Dengan cuaca yang agak baik dan kehadiran pemain serta penyokong setia SAJOHA dari awal, semacam memberi petanda bahawa kami akan menjuarai perlawanan tersebut. Seawal dari sepak mula, kami telah berjaya mengasak kubu lawan hasil try pertama oleh Syawal di hujung padang. Try seterusnya muncul hasil larian kencang oleh winger Zainal dan terus di bawah post. Permainan kemas kami, dan persefahaman antara pemain jelas ketara dan seterusnya kami dikurniakan lagi try hasil larian solo oleh Zainal lagi.

SMSOB seakan tidak mampu berbuat apa-apa tetapi hasil kealpaan kami telah menyaksikan SMSOB berjaya meloloskan diri untuk try pertama mereka melalui gerakan barisan hadapan mereka. Kedudukan separuh masa pertama kekal 19-7.

Separuh masa kedua dimulakan dengan line up pemain yang sama kecuali Zainal yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pada buku lali. Tiada pertukaran lain dilakukan kerana semua pemain merasa seronok dan enjoy dengan permainan mereka. Try seterusnya hasil larian solo oleh Pumba. Selepas itu, Syawal dikeluarkan untuk memberi peluang kepada pemain-pemain lain yang hadir beraksi. Try seterusnya diperolehi hasil larian cantik Akmal yang berjaya meloloskan diri dari beberapa orang pemain dan dengan semangat pasukan yang tinggi, Akmal membuat passing yang cantik kepada Belahak untuk try di bawah post.

Seterusnya giliran Bujal untuk memberikan try, juga hasil larian solo olehnya.

Setelah kesemua pemain simpanan dimasukkan (10 orang) dan juga ketika waktu perlawanan hampir tamat, SMSOB memperolehi try ketiga mereka hasil salah faham antara winger dan full back kami. Keputusan akhir, SAJOHA Vikings 43 - 21 SMSOB.

Dengan keputusan ini, SAJOHA Vikings telah berjaya merampas takhta Liga Alumni yang dipegang oleh SMSOB selama 5 tahun dan juga berjaya menebus kekalahan kami pada tahun lepas dengan pasukan yang sama untuk merebut takhta liga.

Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada semua pemain dan penyokong-penyokong kami yang tidak jemu untuk memberikan sokongan kepada kami. Tanpa kalian, pasukan ini tidak bermakna apa-apa.

Dikesempatan ini juga, saya bagi pihak pasukan ragbi SAJOHA, mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa. Jumpa lagi selepas hari raya.

Sekian, terima kasih.

-herwan-
pengurus pasukan.


SAJOHA Vikings Rugby Club Web Developer